بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Kini UPSR Dulu Penilaian Darjah 5: Hari ini akan bermulanya peperiksaan UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) untuk pelajar-pelajar tahun enam. Selamat diucapkan kepada semua calon-calon agar beroleh kejayaan yang cemerlang. Semoga tiadalah lagi masalah kebocoran seperti tahun lepas.

UPSR ini hanya bermula pada tahun 1987 kerana sebelum itu ianya dikenali sebagai Penilaian Darjah 5. Kenapa agaknya dulu peperiksaan dijalankan semasa darjah 5 dan bukannya darjah 6?

Aku pun tak pasti kenapa tetapi yang pasti apabila masuk sahaja darjah 6, pembelajaran formal yang menjurus target untuk lulus periksa sudah tidak menjadi kepentingan. Oleh itu apakah yang diajar semasa dalam darjah 6?


Sesetengah mengatakan masuk sahaja darjah 6 adalah tahun merdeka atau tahun bulan madu. Ya! tidak dinafikan kerana para pelajar tidak lagi dibelenggu oleh tekanan untuk menghadapi peperiksaan. Pergi sekolah pun seronok je.

Setiap sekolah pasti punya cara yang berbeza dalam memenuhi topik pembelajaran semasa darjah 6. Bagi aku pula, semasa dalam darjah 6 ilmu yang diajar sangat berguna dan pengisiannya sangat bermanfaat.

Ianya bukan sekadar menghabis masa setahun yang tiada matlamat tetapi memperoleh sesuatu yang lebih penting tentang ilmu pengetahuan dalam kehidupan dan agama untuk memahami peralihan diri dari zaman kanak-kanak ke zaman remaja.

Darjah 6 Selepas Penilaian Darjah 5

Kini UPSR Dulu Penilaian Darjah 5
Semasa dalam darjah 6, belajar melalui buku teks tidak lagi menjadi fokus kepada pembelajaran. Lulus periksa bukan lagi menjadi satu matlamat. Sebaliknya pembelajaran tentang ilmu kehidupan dan agama yang lebih diterapkan.

Kalau sebelum itu lelaki dan perempuan dicampur dalam satu kelas tetapi masuk sahaja darjah 6 kami semua diasingkan. Ilmu-ilmu agama tentang hukum dan kehidupan yang berkait isu-isu menjadi dewasa/baligh serta tanggungjawab diberi pendedahan.

Ianya menjadi mudah dan senang diajar sebab lelaki dan perempuan sudah diasingkan. Perkara sensetif tentang seks dan hukum lebih mudah diajar.

Ianya amat baik sekali kerana pada usia yang menginjak remaja, pelbagai perubahan dalam diri serta emosi membuatkan diri rasa kurang selesa dan perasaan ingin tahu.

Dulu manalah ada pelbagai media untuk dijadikan panduan. Ibu bapa juga tidak betah untuk berbicara tentang perkara-perkara peribadi dan dalaman.

Apabila segala pengetahuan ini dedahkan serta hukum-hukum dan adap-adap dalam agama diajar, maka ianya dapat memberi bimbingan agar tidak terjerumus dalam gejala yang tidak sihat.

Kami tidak lagi banyak membuat latihan secara bertulis. Kebanyakannya lebih kepada praktikal seperti latihan sembahyang dengan betul, menghafal surah-surah lazim dan doa. Lebih kurang sama macam di sekolah agama.

Selain itu diajar bertukang, berkebun, membaiki basikal dan motor. Pelajar perempuan pula diajar memasak, mencuci dan menjahit. Bukan sampai mahir pun tetapi sekadar mengetahui perkara asas dan mendedahkan kepada realiti kehidupan

Kegiatan ko-kurikulum menjadi sangat aktif. Aktiviti bersukan boleh dikatakan hampir setiap hari. Masa ini pelbagai bakat dan kemahiran akan dicungkil oleh guru untuk diketengahkan.

Memasuki pelbagai pertandingan antara sekolah menjadi antara aktiviti yang utama. Peserta pula menjadi lebih fokus tanpa menghiraukan lagi tercicir dalam pelajaran.

Darjah 6 Dulu Dan Kini

Darjah 6 bagi aku adalah tahun yang paling menyeronokkan dan bermakna. Mengajar aku tentang kedewasaan dan ilmu kehidupan. Peralihan minda dari kanak-kanak kepada status remaja dapat ditangani dengan begitu baik dan jelas sekali.

Apa yang aku lihat sekarang ini, pembelajaran tentang kehidupan dan kerohanian sudah kurang difokuskan. Semuanya hanya target untuk lulus peperiksaan dengan cemerlang. Dari tahun 1 hinggalah tahun 6, semuanya fokus pada pembelajaran formal menjurus kepada penilaian untuk peperiksaan.

Mujurlah ada sekolah agama diluar waktu sekolah yang dapat memberi ilmu tambahan tentang agama. Itu pun semakin menjurus untuk penilaian dalam peperiksaan tapi sekurang-kurangnya ada.

UPSR, Penilaian Darjah 5, Darjah 6

Ilmu Formal Dan Tidak Formal

Zaman telah berubah dan kini pelbagai teknologi dan media cukup mudah diakses. Pendedahan terhadap pelbagai perkara sensetif hanya dihujung jari. Tidak hairanlah jika sekarang ini kisah budak sekolah rendah bercinta malah ada yang mengandung pun boleh berlaku.

Bukan salah mereka kerana diusia sedemikian adalah masa mereka dalam kecelaruan. Perubahan dalam diri dan emosi membuatkan rasa ingin tahu amat mendalam.

Tanpa bimbingan dan curahan ilmu pengetahuan serta agama, maka rujukan yang salah membuatkan mereka melakukan perkara yang pada anggapan mereka tidak salah kerana sekadar ingin mengetahui dan mencuba. Apabila nafsu menguasai diri maka manusia akan bertindak lebih buruk dari binatang...

UPSR, Penilaian Darjah 5, Darjah 6

Entri ini bukanlah menidakkan kepentingan UPSR tetapi sekadar membandingkan pendidikan dulu dan kini, berkongsi pengalaman dan memori buat tatapan generasi masa kini. Setiap perubahan pasti untuk peningkatan dan kebaikan namun ilmu formal dan tidak formal ini sewajarnya seimbang.

Penilaian Darjah 5 atau UPSR, matlamatnya tetap sama. Ianya menjadi penilaian penting buat pelajar-pelajar sekolah rendah untuk menentukan langkah seterusnya.


11 comments - "Kini UPSR Dulu Penilaian Darjah 5"

paridah delete icon 11:05

sentiasa ada perubahan dlm sistem pendidikan negara sebagai penambaikan sesuai dgn realiti semasa...ujian penilaian darjah lima kalau xsilap dimulakan pada 1969...lama dh tu..

Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

masa saya dulu dah ada upsr tapi empat subjek aje
pada saya yang tak sekolah tinggi mana ni, peperiksaan seperti upsar ni
tak membawa apa-apa maksud pun
ianya hanya akan mewujudkan jurang yang sangat besar antara kurang pandai dengan yang pandai
sedangkan level kepintaran setiap anak-anak tu berbeza
contohnya macam pokok, bukan semua ada kemahiran panjat pokok
adakah yang tak pandai panjat tu bodoh, tak!
mereka ada cara sendiri bagaimana nak memanjat pokok

pada saya sistem pendidikan perlu banyak pembaharuan
kita boleh laksanakan seperti negara maju yang lain.
sebenarnya kita mampu. nak dengan tak nak aje
kalau tidak ianya akan berikan tekanan pada pelajar yang kurang cemerlang

tekanan pertama bagi manusia di malaysia hahaha...

Lama juga Penilaian Darjah 5 ni sebelum jadi UPSR...

Nampaknya begitulah... Sistem pendidikan kita masih berteraskan akademik secara umum dan masih kurang tumpuan kepada minat dan kemahiran pelajar.

Sekarang ni nampak sangat ianya satu tekanan dan bebanan berbanding dulu. Mungkin kerana persaingan dan harapan yang terlalu tinggi

BM sangat teliti dalam aspek penulisan ..hebat kelihatan..penuh informasi..

penilaian tahun 6 ada saya laluinya..SRP lagi dahsyat x boleh naik kelas. Sekarang ni percuma masuk form 4 kan..x ok pun kena bagi peluang ..terbaik jg lah sistem itu adil..

Puas saya mikir..skrg upsr ade bm 1 & bm2...dulu penilaian djh 5 ...ape 5 subjek tu ha...

Subjek dalam peperiksaan Penilaian Darjah 5
1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Inggeris
3. Ilmu Hisab (Matematik)
4. Sains Awalan
5. Tawarikh dan Ilmu Alam (Sejarah dan Geografi)

Komen anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Blog BinMuhammad - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

p/s: Komen berserta link url aktif ( <a href=http://..... ) akan terus dianggap spam. Harap maklum

 
Copyright © 2015 BinMuhammad - Ilmu Dikongsi Bersama - All Rights Reserved - About Me - Policy - Disclaimer - Sitemap