بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Aktiviti Menarik Cuti Hujung Minggu Di Kampung: Syukur kerana dapat bersua kembali di blog yang dah semakin suam-suam kuku ni... Semoga sahabat dan tetamu semua sihat dan sejahtera senantiasa hendaknya.

Apa aktiviti anda ketika cuti sekolah baru-baru ini? BM dapat juga meluangkan sedikit masa untuk pulang ke kampung pada minggu pertama cuti sekolah tersebut. Alhamdulillah... Kepulangan kali ini ada yang menarik untuk dikongsikan bersama anda...

Menikmati suasana kampung yang menghijau, aman dan damai sungguh mententeramkan jiwa. Terasa hilang akan segala masalah dan tekanan dalam kehidupan. Apatah lagi bila dapat mencium pipi ibu yang tersayang...

Aktiviti Cuti Hujung Minggu Di Kampung
Kampung BM yang masih kekal dengan pokok kelapa sebagai tanaman utama. Inilah pemandangan biasa di Bagan Datoh, Perak

Beginilah suasana di kampung BM, selain dari pokok kelapa dan kelapa sawit, tanaman sampingan seperti pokok pisang menjadi hasil tambahan bagi penduduk kampung di sini. 

Bagi yang rajin bercucuk tanam pula, pelbagai pokok tanaman kontan, buah-buahan dan sayuran boleh ditanam untuk dijadikan jualan mahupun kegunaan sendiri.

Aktiviti Cuti Hujung Minggu Di Kampung
Pokok cili padi dan pisang yang menghiasi kebun di kampung

Cuaca Panas Melampau

Tatkala suasana suhu panas yang melampau sedang melanda... Kampung yang menghijau ini juga tidak terlepas dari menerima kesannya. Walaupun berangin namun bahang kepanasan tetap terasa hatta duduk di dalam rumah sekalipun.

Mujurlah rumah di kampung bukan seperti rumah teres... Dikelilingi banyak tingkap serta saluran udara yang memberikan lebih ruang untuk angin keluar masuk... Namun tetap tidak dapat menyejukkan bahang panas yang begitu mencengkam!

Menariknya pula pabila menjelang waktu malam, suasana tidak berkekalan panas dan berubah menjadi sejuk. Cukup selesa dan nyaman ketika di waktu malam di kampung. Agak luarbiasa berbanding tempat tinggal BM yang panas tidak kira siang mahupun malam.

Sudah sekian lama hujan tidak turun telah memberi kesan kepada tanaman yang mulai layu dan kurang mengeluarkan hasil. Tanah semakin merekah kekeringan dan air parit juga kelihatan semakin surut.

Terik panas mentari dengan langit yang membiru sejak dari awal pagi menyebabkan tak sanggup nak bergerak ke mana-mana. Duduk dalam rumah ajer le...

Aktiviti Cuti Hujung Minggu Di Kampung
Lihatlah suasana di kampung di mana air parit yang semakin surut dan ketika waktu tengahari yang panas dengan terik mentari...

Menjala Ikan

Air parit yang semakin surut telah menampakkan pelbagai khazanah yang sebelum ini terlindung di dalamnya sehingga menyebabkan ikan-ikan mulai kelihatan bermain di permukaan air. Setiap kocakannya telah menimbulkan rasa yang teramat geram!

Apa lagi... Tak perlu dah nak memancing! Baik menjala jer...lagi cepat dapat dan memandangkan pula cuaca panas, siapalah nak termanggu menunggu pancing di tebing parit tu! Maka, sebelum mentari tegak naik atas kepala, baik segera jala ditebarkan! Ada rezeki..boleh juga buat lauk tengahari nanti.

Parit ini sejak dari dahulu lagi tidak pernah menghampakan kalau memancing atau menjala. Masih banyak ikan dan cuma yang telah pupus hanyalah udang dan ketam nipah akibat terkesan dengan kualiti air yang sedikit tercemar. Namun jika di penghujung parit yang menghampiri sungai, ianya masih ada lagi.

Aktiviti Cuti Hujung Minggu Di Kampung
Hasil tebaran jala yang pertama sahaja sudah berjaya memungut hasil!

Aktiviti Cuti Hujung Minggu Di Kampung
Inilah hasilnya setelah 10 kali jala ditebar... Cukuplah dulu, sambung esok pula... Pelbagai spesis ikan air tawar seperti puyu, sepat siam, sepat ronggeng dan talapia hitam kini dah berada dalam sinki untuk operasi menyiangnya pula.

Selama dua hari, memang banyak hasil dari menjala ni... Seronok sangat tapi bukannya banyak yang mampu di makan pun. Hah! Apa lagi... buat pekasam ler. Kami di sini panggil "wadik". Berbalang-balang pekasam berjaya di buat. Malangnya lupa pula nak ambil gambar...huhu  

Sebenarnya... Tidak kira apa juga spesis ikan air tawar ini pun boleh dibuat "wadik"... Berikut dikongsikan cara-cara untuk membuat pekasam ikan air tawar atau "wadik" ini... Kalau ada yang nak mencuba lah...

Resepi Pekasam @ Wadik

Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat wadik
  1. Ikan yang telah disiang dan dicuci dengan bersih 
  2. Garam kasar
  3. Asam keping
  4. Beras (digoreng tanpa minyak sehingga berwarna perang - perlu dikacau selalu kerana jangan pula sampai terlalu hangit menghitam)
  5. Balang kaca atau plastik
Cara membuat "wadik":
  1. Masukkan garam ke dalam balang dan ratakan.
  2. Masukkan pula beberapa ekor ikan dan disusun menutupi garam.
  3. Taburkan beras yang telah digoreng (agak-agak segenggam dah cukup) rata di atas ikan tersebut dan letakkan 2~3 keping asam keping.
  4. Taburkan garam menutupi semua permukaan
  5. Ulang langkah 2, 3 dan 4 sehingga ikan habis.
  6. Tutup rapat balang dan letakkan di tempat yang selamat dan bersuhu bilik.
  7. Selepas sebulan, dah boleh keluarkan ikan untuk digoreng dan dimakan! Lagi lama anda simpan, lagi sedap rasa ikan wadik ni... 

Wadik ini sedap digoreng bersama hirisan bawang merah dan cili serta perahan limau yang memberikan kombinasi rasa masin, masam, pedas dan haruman yang pasti memikat selera anda untuk makan bersama nasi panas, pulut atau ubi kayu rebus! Dah terliur nih...hehe

Aktiviti Cuti Hujung Minggu Di Kampung

Itulah rakaman coretan aktiviti menarik hujung minggu dan suasana di kampung yang dapat dikongsikan bersama anda. Sebenarnya boleh dikatakan hampir tiap-tiap bulan BM mesti akan pulang ke kampung walaupun hanya dapat dua hari dikala cuti di hujung minggu.

Maklumlah...selagi masih ada ibu, setiap ruang dan peluang masa yang ada, mesti didahulukan untuk menziarahi ibu mahupun saudara-mara di kampung...

13 comments - "Aktiviti Cuti Hujung Minggu Di Kampung"

Assalamualaikum...

Orang Bagan Datoh rupanya....hehehe... Atok sebelah suami orang Sg Sumun...

Suka pergi Bagan Datoh sebab kelapanya...dan juga sebab udangnya...

Wah bestnya...orang Bagan Datuk ye. Isteri teman orang teluk intan. Ada saudara juga di Bagon Datok.

Huhu..damai btul baca entry Bm ni..

Huhu..damai btul baca entry Bm ni..

paridah delete icon 12:10

SERONOKNYA BALIK KAMPUNG DPT MENJALA IKAN BUAT WADIK N BOLEH SIMPAN UTK MKN BULAN PUASA NANTI...KAK PUN RAMAI SEDARA DI SG.NIPAH, SG,TIANG SG.SUMUN, SG.PERGAM KAT BAGAN DATOH TAPI KAK XBERASAL DARI SANA HEH..HEH..

Tertarik dengan ikan talapia tu huhu

Unknown delete icon 15:25

Bestnya menjala ikan, buat ikan pekasam pula tu...

Suasana kampung yg mendamaikan... semulajadi dan menenangkan jiwa... seronok... :)

Seronknya kat kampung..layan kesegaran kampung ...bermain bersama jala ...berkongsi menghirup udara segar...fuhhh teringat kg la pulak

Mrs. A delete icon 16:20

Waa.. banyaknya dapat dah lama tak tengok sepat ronggeng tu hiks!

Projek kelapa dara masih rancak kat sana?

Dah lama tidak balik ke kampung hoho..

Komen anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Blog BinMuhammad - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

p/s: Komen berserta link url aktif ( <a href=http://..... ) akan terus dianggap spam. Harap maklum

 
Copyright © 2015 BinMuhammad - Ilmu Dikongsi Bersama - All Rights Reserved - About Me - Policy - Disclaimer - Sitemap