بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
"SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU"... Diucapkan kepada semua warga pendidik di seluruh negara. Bukan sahaja buat cikgu secara formal yang menjadi bidang kerjaya tetapi juga buat kita semua yang menjadi guru kepada ahli keluarga dan masyarakat secara tidak formal.

Pada tahun 2016 ini , sambutan hari guru membawakan tema, 'Guru Pembina Negara Bangsa'. Adalah benar... guru adalah pendidik anak bangsa yang akan mencorakkan negara di masa akan datang.

Selamat Hari Guru
Hari Guru 2016

Namun tugas dan tanggungjawab ini bukan hanya perlu dipikul sepenuhnya kepada warga pendidik di sekolah-sekolah. Ianya perlukan kerjasama dari ibu bapa dan masyarakat untuk sama-sama mendidik agar segala impian dan harapan akan tercapai demi kejayaan masa depan yang cemerlang dan gemilang.

Luahan Hati Guru

Selami luahan hati bekas seorang "Guru Besar Cemerlang" yang di zahirkan dalam puisi Khas sempena Sambutan Hari Guru 2016...ini untuk kita renungkan bersama

Ceritanya...Semalam,
Ada mak bapak yang datang meradang,
Menghentak meja, bersuara lantang,
Meluah rasa menjeling pandang,
Kecil hati tidak diundang,
Marah benar bila dibuang,
Macam amuk pemain bola dibuang padang..

Ceritanya...Semalam,
Maruah cikgu diejek-ejek,
Dikata tidak layak jadi pendidik,
Ijazah yg ada sekadar dikelek,
Masa mengajar dipendek2,
Pengalaman yang ada disukat cetek..
Telinga cikgu mendengar jelek..

Ceritanya...Hari ini,
Ada murid yang datang lewat,
Sedangkan rumah duduknya dekat,
Cikgu pun tanya kenapa liat,
Hari-hari lambat,kemana solat?
Muka murid tersenyum kelat,
Otak murid berfikir ligat,
Nak gentar apa,cikgu tak boleh nak sebat,
Paling tak tulis nama dalam buku lewat..

Ceritanya...Hari ini,
Ada cikgu megajar didepan kelas,
Ada murid dibelakang bersembang bebas,
Ada kerja untuk SATU kelas,
Tapi yang siap tak sampai sebelas,
Marah cikgu berbekas-bekas,
Niat dihati mengajar ikhlas,
Yang rajin tiga belas,
Yang lain malas!

Ceritanya,..Esok,
Keputusan peperiksaan keluar,
Satu sekolah berdebar-debar,
Ibu bapa tidak sabar-sabar,
Mesti keputusan anak aku bikin gempar...
Silap-silap masuk surat khabar..

Ceritanya...
Bila keputusan mula diumumkan,
Anak dapat cukup-cukup makan,
Anak menangis minta ehsan,
Bukan apa takut balik dirotan,
Anak dipujuk,cikgu disalahkan,
Konon cikgu tidak berkelayakan,
Ilmu yang ada tidak cukup padan..
Ibu bapa melepas baran,
Anak aku bukan sebarangan,
Lahir dari keturunan tuan-tuan,
Patut dapat keputusan A one..!

Ceritanya...Hari ini,'
Hati cikgu mendidih-didih,
Mak bapak tidak tahu berterima kasih,
Hati cikgu mana tidak sedih,
Tapi cikgu hatinya jernih,
Marah pergi sejuk diraih,B
iar mak bapak makinya berbuih,
Nawaitu cikgu bersifat bersih..
Luhur hatinya tetap ditagih,
Hari ini, aku berterima kasih..
Pada guru yang berperit jerih,
Yang tidak pernah letih,
Bukan wang ringgit yang cikgu ketagih,
Cukuplah sekadar terima kasih..

Hasil Karya: Dato Ruslan Madon, 
Mantan Guru Besar

Jangan Bersedih

Kepada semua guru seluruh negara sama ada secara formal atau tidak formal janganlah bersedih lagi...

Menurut imam al-Ghazali, pendidik merupakan maslikhul kabir. Bahkan dapat dikatakan pada satu sisi, pendidik mempunyai jasa yang lebih jika dibandingkan kedua orang tuanya. Lantaran kedua orang tuanya menyelamatkan anaknya dari godaan dunia, sedangkan pendidik menyelamatkan dari sengatan api neraka. Kedudukan pendidik dalam pendidikan Islam ialah orang yang memikul tanggungjawab untuk membimbing.

Selain menjadi pembimbing dan pemberi arah dalam pendidikan, pendidik juga berfungsi sebagai motivator dan fasilitator dalam proses belajar/mengajar, iaitu berupa teraktualisasinya sifat-sifat Ilahi dan mengaktualisasikan potensi-potensi yang ada pada diri seseorang untuk dididik dan digunakan bagi mengimbangi kelemahan-kelemahan yang dimilikinya.

Imam Al-Ghazali menghujahkan beberapa hadis Nabi tentang keutamaan seorang pendidik. Ia menyimpulkan bahawa pendidik disebut sebagai orang-orang besar (great individual) yang peranannya lebih baik daripada ibadah setahun. Bahkan ketika berlakunya peperangan, sebahagian kaum muslimin dianjurkan untuk tidak ikut berjihad dan tetap fokus dalam pendidikan.

Allah Swt berfirman:
"Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya." (QS. At-Taubah 122).

Selanjutnya Al-Ghazali menukil dari perkataan para ulama yang menyatakan bahawa pendidik merupakan pelita (siraj) segala zaman. Orang yang dididik akan memperoleh pancaran cahaya keilmiahannya. Andaikata dunia tidak ada pendidik, nescaya manusia akan jadi seperti binatang, Hanya pendidik yang berupaya mengubah manusia dari sifat kebinatangan kepada sifat insaniah dan ilahiah.

Al-Ghazali juga menyatakan sebagai berikut:
"Seseorang yang berilmu dan kemudian mengamalkan ilmunya itu dialah yang disebut dengan orang besar di semua kerajaan langit, dia bagaikan matahari yang menerangi alam sedangkan ia mempunyai cahaya dalam dirinya seperti minyak kasturi yang mengharumi orang lain kerana ia harum, seorang yang menghambakan dirinya dalam mengajar bererti dia telah memilih pekerjaan yang terhormat".

Oleh kerana itu hendaklah seorang guru memperhatikan dan memelihara adab serta sopan santun dalam tugasnya sebagai seorang pendidik.

Bergembiralah

Seorang guru yang menyampaikan ilmunya adalah adalah untuk dimanfaatkan dan jika ilmu tersebut di amalkan berterusan hingga ke hari kiamat maka selama itulah pahalanya akan berterusan diperolehi.

Hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud :
"Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan do'a anak soleh yang mendoakannya" (Hadith Riwayat Muslim)

Oleh itu bergembiralah wahai para guru kerana jasamu tetap dikenang dan jika tidak oleh manusia, ganjaran besar tetap Allah SWT berikan buatmu. InsyaAllah... pahalamu berterusan walaupun kau sudah tidak ada lagi di dunia ini.

Kata-kata Semangat 

Biar penat berdiri... Jangan penat memberi
Biar lelah terduduk... Jangan lelah membentuk 
Biar penat bercakap... Jangan penat berharap
---------------

Dalam ajarannya ada harapan
Dalam tegurnya ada doa
Dalam marahnya ada sayang
Dalam diamnya ada kebijaksanaan
Dalam tangannya ada sahsiah terbina
---------------

Ukirlah walaupun di atas batu
Curahlah air walaupun di atas daun keladi
Tulislah walaupun di atas pasir

Keraskan pahatmu
Besarkan baldimu
Genggamkan penamu

Manalah kita tahu...

Batu menjadi tugu
Daun keladi menjadi baldu
Pasir menjadi intan

Sabar itu kekayaan
Ikhlas itu kejayaan
--------------

Sejarah Hari Guru

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report Of The Education Commitee) sebagai dasar pelajaran negara kita.

Dokumen tersebut telah dikenali sebagai Laporan Razak dan seterusnya menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.
  1. Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
  2. Menarik perhatian ibu bapa , murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
  3. Memupuk semangat perpaduan ikhtisas dan muhibbah di antara guru.
  4. Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
  5. Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar, persidangan, melanjutkan pelajaran dan sebagainya.
  6. Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.
Sebagai rujukan dan pengetahuan bersama, Berikut adalah Tema Sambutan Hari Guru setiap tahun di Malaysia :
  • 1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara
  • 1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
  • 1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
  • 1975 Guru dan Pembangunan Negara
  • 1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
  • 1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
  • 1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
  • 1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
  • 1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
  • 1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
  • 1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
  • 1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
  • 1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
  • 1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
  • 1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
  • 1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
  • 1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
  • 1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
  • 1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
  • 1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
  • 1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
  • 1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
  • 1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
  • 1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
  • 1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
  • 1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
  • 1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
  • 1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
  • 1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
  • 2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
  • 2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
  • 2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
  • 2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
  • 2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
  • 2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
  • 2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
  • 2007 Guru Penjana Modal Insan Cemerlang
  • 2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
  • 2009 Guru Pembina Negara Bangsa
  • 2010 Guru Pembina Negara Bangsa
  • 2011 Guru penjana transformasi pendidikan negara
  • 2012 Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
  • 2013 Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1 Agenda
  • 2014 Guru: Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi
  • 2015 Guru : Membina ilmu Menyempurnakan Akhlak
  • 2016 Guru Pembina Negara Bangsa

Lagu tema Sambutan Hari Guru 2016: Guru Pembina Negara Bangsa


10 comments - "Luahan Hati Seorang Guru di Hari Guru 2016"

Selamat Hari Guru buat semua guru termasuk ibu pengasuh ;)

Selamat hari guru buat semua guru-guru sana ada yang masih bertugas atau yang telah bersara...moga setiap apa yang dicurahkan menjadi semaian benih amal hingga akhirat.amin.

paridah delete icon 15:16

Insan guru pewaris ilmu...bukan mudah memperoleh ilmu drpd guru2 yg ikhlas menyammpaikannya..budi mrk xternnilai disanjung tinggi.

Ibu pengasuh adalah orang penting dalam hidup anak2. Merekalah pendidik dikala kita tidak bersama...

Begitu berputis ucapan PC... InsyaAllah, telah dijanjikan akan ganjarannya. Semoga diberkati...

Jika tidak kerana guru...pada siapa kita nak menuntut ilmu? Terima kasih cikgu!

Selamat hari guru buat Cikgu (lecturer) MKL... :)

Tanpa guru siapalah kita... tanpa guru matilah ilmu... selamat hari guru buat semua warga pendidik... :)

Unknown delete icon 09:56

Selamat Hari Guru buat semua pendidik terutamanya ayah dan ibu kerna merekalah guru pertama kita

Komen anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Blog BinMuhammad - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

p/s: Komen berserta link url aktif ( <a href=http://..... ) akan terus dianggap spam. Harap maklum

 
Copyright © 2015 BinMuhammad - Ilmu Dikongsi Bersama - All Rights Reserved - About Me - Policy - Disclaimer - Sitemap