بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Hari ini BM ingin membawa anda mengembara menjelajah ke negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan selama 4 hari 3 malam.

Sekikit berbeza kerana istimewanya kembara ini apabila anda akan dibawa bersama untuk melihat dan menikmati keindahan senibina masjid di Pantai Timur yang sungguh cantik, memikat dan menawan.

Pelbagai rekabentuk dan senibina akan dapat kita perhatikan. Setiap satunya mempunyai keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri. Rumah Allah yang menjadi tempat ibadat, penyebaran ilmu dan menjalin ukhwah komuniti setempat serta lambang perpaduan dan kekuatan umat Islam.

Kembara Masjid Bermula di Kuala Kubu Bharu

Pengembaraan sudah pastinya bermula dari tempat tinggal BM di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Masjid indah yang dibina dipinggir tasik di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu menjadi titik permulaan kembara kita kali ini.

Masjid Darul Quran, Kuala Kubu Bharu
Masjid Darul Quran, Kuala Kubu Bharu

Seawal 6.30 pagi selepas selesai solat subuh, mula bergerak perlahan meninggalkan Kuala Kubu Bharu menuju ke pekan Raub di Pahang. Sebelum sampai di simpang Bukit Frazer, bermakna sudah pun memasuki sempadan Negeri Pahang. Selamat tinggal Selangor...

Bukit Fraser
Singgah seketika di Bukit Frazer untuk melihat satu-satunya masjid di puncak peranginan tanah tinggi ini yang dikelilingi oleh keindahan alam serta flora dan fauna yang masih kekal terpelihara. Suhu dingin amat dirasai dan suasana sungguh nyaman sekali.

Masjid Bukit Fraser
Masjid Bukit Fraser

Pekan Raub
Dari Bukit Frazer, perjalanan di teruskan menghala ke Pekan Raub. Berhenti rehat seketika untuk bersarapan di kedai berhampiran Masjid Sultan Abu Bakar.  Asyik sekali menjamu selera sambil sambil melihat keindahan senibina masjid yang indah ini. Lihatlah kubah emasnya yang amat menyerlah walaupun dari jauh.

Masjid Sultan Abu Bakar, Raub
Masjid Sultan Abu Bakar, Raub

Pekan Kuala Lipis
Kini perut pun sudah terisi, selesa untuk bergerak meneruskan perjalanan. Lokasi berikutnya adalah Kuala Lipis. Kira-kira jam 11 pagi BM telah berada di perkarangan Masjid Mahmud. Masjid unik senibinanya ini mempunyai banyak menara kecil amat mudah menjadi perhatian. Terserlah adaptasi senibina mongul dalam rekaannya.

Masjid Mahmud, Kuala Lipis
Masjid Mahmud, Kuala Lipis

Dari Pahang Sampai Kelantan

Dari Kuala Lipis, menempuh pula jalan berliku-liku menghala ke Gua Musang. Melalui jalan merentasi hutan belantara yang masih kekal terpelihara ini sungguh mempersonakan. Beberapa kali juga bertemu dengan lori yang sedang mengangkut kayu balak. 

Pekan Gua Musang
Kira-kira hampir pukul satu setengah barulah sampai di Masjid Tengku Muhd. Faiz Petra untuk bersolat zohor. Masjid indah berwarna biru ini begitu menyejukkan mata memandang. Selesai solat, singgah di gerai tepi jalan untuk menikmati makanan tengahari. Sangat enak masakannya dan murah pula harganya.

Masjid Tengku Muhd. Faiz Petra, Gua Musang
Masjid Tengku Muhd. Faiz Petra, Gua Musang

Dari Gua Musang, bergerak jauh ke utara menuju ke Kuala Krai. Mujurlah sepanjang perjalanan tiada gangguan trafik. Tenang sekali memandu kereta Vivaku ini. Perjalanan jauh sebegini, kereta kecil amat sesuai kerana menjimatkan minyak tambahan pula harga minyak dah naik.

Singgah seketika di Masjid Mukim Aur Gading. Masjid lama dengan satu menara ini sungguh tenang dan damai sekali. Hanya berhenti untuk menyegarkan badan sambil solat sunat seketika lalu segera bergerak semula.

Masjid Mukim Aur Gading
Masjid Mukim Aur Gading

Pekan Machang
Perjalanan di teruskan lagi sehinggalah berhenti seketika untuk solat Asar di Masjid Mukim Kaabah di Machang. Masjid dua tingkat ini umpama rumah banglo, cuma mempunyai sebuah menara yang menjadi mercu tanda bahawa ianya adalah sebuah masjid. 

Masjid Mukim Kaabah, Machang
Masjid Mukim Kaabah, Machang

Perut terasa sedikit kosong, belilah sebungkus goreng pisang dan sebotol air mineral di gerai tepi jalan buat alas perut sementara untuk sampai ke Tanah Merah.

Pekan Tanah Merah
Sesampai di Tanah Merah, mata ini terpaku dengan keindahan Masjid Mukim Pasir Gendal. Berhenti rehat sambil menikmati senibina yang indah ini sementara menanti waktu Maghrib menjelang tiba. Kubah besar berwarna biru menjadi begitu unik pabila dikeliling oleh warna kuning keemasan. 

Masjid Mukim Pasir Gendal, Tanah Merah
Masjid Mukim Pasir Gendal, Tanah Merah

Pekan Pasir Mas
Selesai solat maghrib, terus bergegas bergerak menuju ke Pasir Mas. Masjid Brunei di Danau Tok Uban menjadi pilihan kerana keindahan masjid berwarna putih dipinggir tasik ini amat memukau pandangan. Sayangnya, tidak sempat untuk berjemaah Isyak di sini. Perjalanan diteruskan pula menuju ke pekan Tumpat.

Masjid Brunei, Pasir Mas
Masjid Brunei, Pasir Mas

Masjid Selehor menjadi destinasi terakhir disinggah. Masjid lama ini tidak kurang hebat senibinanya menjadi kebanggaan penduduk setempat. Disini, BM menumpang bermalam di rumah sahabat yang tidak jauh dari masjid ini. Keesokan harinya, setelah bersarapan pagi, terus sahaja bergerak untuk menuju ke Pengkalan Chepa. 

Masjid Lama Selehor
Masjid Lama Selehor

Pengkalan Chepa
Disini singgah pula seketika di Masjid Pasar Basah. Masjid indah ini masih baru lagi. Senibinanya tidak kurang menariknya. Dua menara besar menjadi mercu tanda utama masjid ini. Tatkala saya sampai, kelihatan ramai orang berada diperkarangan masjid kerana ada majlis akad nikah yang hendak dilangsungkan. Tidak berada lama di sini kerana perjalanan masih panjang untuk di lalui. 

Masjid Pasar Basah, Pengkalan Chepa
Masjid Pasar Basah, Pengkalan Chepa

Bandar Kota Bharu
Bandar Kota Bharu yang tidak jauh dari Pengkalan Chepa menjadi persinggahan seterusnya. Masjid negeri sudah tentu menjadi lokasi wajib yang mesti ku singgah. Masjid Muhammadi atau Masjid Besar ini adalah masjid utama yang menjadi tumpuan di tengah-tengah bandar Kota Bharu. Kubah menaranya yang unik berwarna emas menjadi mercu tanda unik bagi masjid ini.

Masjid Muhammadi, Kota Bharu
Masjid Muhammadi, Kota Bharu

Dari kesibukan bandar Kota Bharu, perjalanan diteruskan ke Pulai Condong. Masjid yang sederhana binaannya ini terasa tenang sekali. Tiada rekaan yang gah kecuali menara kecil sebagai pelengkap namun terasa cukup nyaman dan selesa berada seketika di masjid ini.

Masjid Pulai Chondong
Masjid Pulai Chondong

Pekan Selising
Kemudian bergerak pula menuju ke Selising. Singgah solat Zohor di sebuah masjid baru iaitu Masjid Solahuddin Al Ayubi. Masjid ini tidak begitu besar, kalau di tempat BM, umpama sebuah surau sahaja. Penduduk di sini sungguh ramah sekali. Sempatlah jugalah makan di rumah salah seorang jemaah masjid yang memaksa BM untuk singgah makan tengahari di rumahnya. Terima kasih... 

Masjid Solahuddin Al Ayubi, Selising
Masjid Solahuddin Al Ayubi, Selising

Pekan Pasir Putih
Pasir Putih yang mengambil masa 20 minit perjalanan dari Selising menjadi destinasi seterusnya. Masjid Mukim Tasik Tualang Tinggi menjadi persinggahan seterusnya. Berbentuk ala rumah tradisional, masjid ini sangat cantik sekali senibinanya. Rekaan minimum sebuah masjid namun tetap indah dipandangan.

Masjid Mukim Tasik Tualang, Pasir Putih
Masjid Mukim Tasik Tualang, Pasir Putih

Selamat Datang Ke Terengganu

Dari Pasir Putih, bergerak pula turun lagi keselatan lalu melintasi sempadan. Selamat datang ke Negeri Terengganu dan ini bermakna telah masuk negeri ke tiga yang dilalui sepanjang kembara ini. Tidak dirasai, begitu cepat sungguh perjalanan ini...

Pekan Jerteh
Singgah di Masjid Hadhari di Pekan Jerteh. Masjid yang tersergam indah ini dibina pada zaman pemerintahan Pak Lah yang  begitu sinonim dengan perkataan Hadhari. Senibinanya yang berinspirasikan rekaan dari Timur Tengah ini sangat memukau pandangan. Tidak melepaskan peluang untuk mengambil kesempatan bersolat Asar disini

Masjid Hadhari, Jerteh
Masjid Hadhari, Jerteh

Dari Jerteh, saya membuat keputusan untuk menyusuri jalan di pesisir pantai kerana suasana sepanjang perjalanan tidak membosankan apabila dapat melihat suasana perkampungan dan keindahan alam yang memukau pandangan.

Pekan Penarik
Lokasi persinggah seterusnya adalah di Penarik, Setiu. Sesuai dengan namanya, Masjid Penarik menjadi persinggahan seterusnya. Rekaan senibina masjid ini amat menarik sekali terutama pada kubahnya yang berwarna perak. Lama juga berada disini bagi melepaskan lelah sambil menanti azan Maghrib bergema.

Kebetulan ada pula kuliah selepas Maghrib maka, peluang keemasan ini tidak sesekali dilepaskan. Selesai solat Isyak, ada pula jamuan makan. Alhamdulillah...murah rezeki malam itu.

Masjid Penarik, Setiu
Masjid Penarik, Setiu

Selesai makan, memanglah hajat di hati hendak mencari tempat penginapan. Tetapi jika sudah tertulis rezeki BM, masakan  mahu di tolak. Seorang ahli jemaah menjemput untuk bermalam di rumahnya. Selesai masalah untuk mendapatkan tempat bermalam. Syukran...

Keesokan harinya, selepas sahaja solat subuh, meminta izin kepada tuan rumah untuk bergerak bagi meneruskan misi kembara masjid. 

Bandar Kuala Terengganu
Perjalanan kali ini agak jauh kerana bercadang untuk terus sampai ke Kuala Terengganu. Setibanya di Kuala Terengganu, lokasi pertama adalah Masjid Kristal. Masjid yang menjadi mercu tanda paling terkenal di Kuala Terengganu.

Ianya memang benar sekali, masjid ini cukup indah senibinanya dan berkilau bak kilauan permata tatkala disinari mentari.  Masjid secantik ini sayangnya kulihat bagaikan berfungsi lebih kepada tarikan pelancong daripada meriah dengan jemaah. Mungkin kerana faktor lokasi... Alangkah sedihnya...

Masjid Kristal, Kuala Terengganu
Masjid Kristal, Kuala Terengganu

Masjid seterusnya yang menjadi tarikan saya adalah Masjid Sultan Zainal Abidin. Juga di kenali dengan nama Masjid Putih kerana warna putih menjadi warna utama di sini. Senibina masjid ini sungguh indah sekali. Gabungan pelbagai senibina diadun baik dan harmoni sekali. Terasa bagai di dalam istana pula...

Masjid Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu
Masjid Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu

Kembaraku di Kuala Terengganu berakhir di masjid terapung di Kuala Ibai. Masjid Tengku Tengah Zaharah ini adalah lokasi wajib perlu dilawati kerana ianya memang cantik sekali. Rekabentuk dan lokasinya menjadikan ia bagaikan bersatu dengan alam. Cukup hanya berwarna putih sudah menyerlahkan kecantikan senibina masjid ini. 

Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai
Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai

Pekan Marang
Setelah puas meronda seluruh bandar Kuala Terengganu, bergerak pula menuju ke Pekan Marang. Di sini singgah seketika di Masjid Sultanah Nur Zahirah untuk menikmati keindahan bangunan yang tersergam indah ini. Masjid ini masih baru dan sungguh bersih serta selesa.

Masjid Sultanah Nur Zahirah, Marang
Masjid Sultanah Nur Zahirah, Marang

Pekan Kuala Berang
Kali ini BM menukar haluan untuk tidak menyusuri laluan dipersisir pantai untuk bergerak pula ke pekan Kuala Berang untuk bertemu dengan sahabat lama.

Kami berjumpa di Masjid Sultan Mahmud. Kubah besar berwarna kuning menjadi identiti utama masjid ini. Cukup bersih dan terjaga luar dan dalam. Rekaan masjid seperti ini cukup popular di penghujung tahun 80an. 

Saya mengambil peluang untuk solat Zohor dan jamak Asar kerana destinasi seterusnya agak jauh iaitu bandar Paka.

Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang
Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang

Pekan Paka
Setelah makan tengahari bersama sahabat lama, maka kembara diteruskan dengan bergerak ke bandar Paka. Sampai di sini betul-betul hampir menjelang Maghrib. Masjid Jamek Paka menjadi tempat persinggahanku. Masjid berkubah biru ini sungguh ramai sekali jemaahnya. Senibinanya juga amat menarik seperti berada di negara Timur Tengah. 

Rasa begitu letih sekali. Selesai sahaja solat Isyak, tempat penginapan dicari. Sebuah hotel budget menjadi pilihan sebagai tempat bermalam untuk melepaskan segala lelah.

Masjid Jamek, Paka
Masjid Jamek, Paka

Setelah dapat tidur dengan lena, badan kembali bertenaga. Selepas solat subuh, terus bergerak laju menuju ke lokasi seterusnya. Perjalanan agak jauh namun tidak terasa apabila menyusuri laluan di persisir pantai yang indah dengan pemandangan laut dan kampung nelayan yang sungguh mengasyikkan. Beberapa kali juga berhenti seketika untuk menikmati keindahan alam ini sambil menjamu selera.

Bandar Kemaman
Akhirnya tiba di bandar Kemaman, Masjid Kampung Tuan menjadi pilihan persingggahan. Masjid lama yang sungguh unik ini adalah satu-satunya masjid yang di singgah benar-benar masih mengekalkan ciri-ciri tradional. Bangunan masjid keseluruhannya dari kayu dan papan. Rekaan dan senibinanya jelas berbentuk nusantara. Dapat juga menunaikan solat zohor di sini.

Masjid Kampung Tuan, Kemaman
Masjid Kampung Tuan, Kemaman

Sampai Semula Ke Negeri Pahang

Selesai sahaja solat, tanpa membuang masa, terus bergerak menuju ke selatan. Tidak begitu jauh perjalanan, sudah pun melintasi sempadan. Kini telah sampai semula ke Negeri Pahang. 

Bandar Kuantan
Destinasi Seterusnya adalah Bandar Kuantan. Masjid negeri iaitu Masjid Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah menjadi lokasi utama ku. 

Masjid indah ini menjadi tarikan utama di Bandar Kuantan. Senibinanya masjid ini sangat menarik dan memukau pandangan dan kelihatan seperti kebanyakan rekaan masjid di Negara Turki. Warna biru putih menjadi warna asas masjid ini sangat menyerlah sekali. Selesai solat Asar, kembara di teruskan lagi

Masjid Sultan Ahmad Mu'adzam Shah, Kuantan
Masjid Sultan Ahmad Mu'adzam Shah, Kuantan

Pekan Gambang
Dari Kuantan, lokasi seterusnya adalah Gambang. Disini, singgah seketika di Masjid Al- Makmur. Masjid Indah berkubah warna keemasan di kelilingi banyak menara kecil. Rekaan yang sinonim dari senibina India Mongul. Dapatlah juga berehat seketika dan menunaikan solat Maghrib di sini. 

Masjid Al-Makmur, Gambang
Masjid Al-Makmur, Gambang

Pekan Maran
Selesai solat Maghrib, lokasi seterusnya adalah menuju ke pekan Maran untuk ke rumah seorang lagi sahabatku. Tempat persinggahan untuk bermalam. Letih tidak terkata tetapi segar semula apabila hidangan ikan patin gulai tempoyak menjadi lauk makan malam di rumahnya.

Seawal sebelum subuh sudah bersiap-siap untuk memulakan perjalanan. Masjid Maran menjadi lokasi pertama. Solat subuh di sini. Bangunan masjid dengan tingkap-tingkap kaca yang besar ini sungguh menarik dan indah sekali. Rekaan moden bersama kesenian Islam diadun dengan kemas sekali.

Masjid Maran
Masjid Maran

Pekan Jerantut
Segera bergerak menuju ke destinasi seterusnya iaitu Pekan Jerantut. Disini berhenti seketika disebuah masjid yang cukup indah dan mempersonakan. Masjid Lama Daerah Jerantut ini masih cantik terpelihara. Gabungan tiga warna yang sungguh menarik sekali. Senibina unik yang memukau pandangan. Terpaku melihat akan kehebatan tamadun senibina Islam.

Namun, tidak dapat lama berada di sini kerana matlamatnya adalah untuk sampai pulang ke rumah sebelum waktu Asar menjelang tiba. Segera bergerak meneruskan perjalanan.

Masjid Lama Daerah, Jerantut
Masjid Lama Daerah, Jerantut

Kembara Masjid Ke Pantai Timur Berakhir

Kini...tiada lagi hentian. Bergerak terus melalui pekan Raub lalu menuju ke Kuala Kubu Baru. Tepat sampai di rumah sebelum waktu Asar. Alhamdulillah...misi kembara masjid selama 4 hari 3 malam di negeri Pantai Timur ini telah berjaya dilakukan dengan lancar sekali. 

Terima kasih kerana sudi mengikuti kembara ku ini... walaupun sebenarnya ia bukanlah satu perjalanan realiti... :)


p/s: Entri ini diterbit semula dari blog RM kerana terpaksa di delete akibat serangan pishing dan malware.

18 comments - "Kembara Masjid Di Pantai Timur Semenanjung"

yes..yang kuantan n maran je dah sampai ;)

paridah delete icon 9/11/15

assalam...ada juga masjid yg BM singgah pernah sampai spt masjid2 sekitar kuala trengganu, kota bhru, kuantan, maran, jerantut...maran n kuantan tempat kak bersekolah dulu.

Wa delete icon 9/11/15

Masjid Kuala Berang ... , masa duduk hostel dulu, selalu pergi sana ramai2 naik bas dengar ceramah >)

Indah2 masjidnya..kembara yg bermakna skali..

Ingatkan Masjid Jamek ada di KL saje. Rupanya kat Kuala Berang jugeee ade. hihi

Setiap masjid mempunyai senibina yang cantik..

agen jamkho delete icon 11/11/15

masjid darul quran sangat cocok untuk mensucikan diri

Banyak juga masjid tu yg akak dah singgah ya! Melihat semula, mesti mengimbau kenangan lama...hehe

Masjid jamek ni ada banyak di seluruh negara.

Bagus pihak pengurusan masjid tu...sentiasa ada aktiviti dan lagi bagus anda sebab selalu mengimarahkannya... :)

Mizz Aiza delete icon 12/11/15

Semua masjid cantik.. Ada beberapa masjid aiza pernah singgah..

Sangat cantik pemandangan dan binaan masjid di Pantai Timur ni, MV hanya berkesempatan pergi 2 buah masjid saja...

Menariknya masjid di Pantai Timur ni, ianya tidak terikat dengan satu-satu senibina. Ada pelbagai gabungan senibina dan kebudayaan yg sangat menarik!

Etuza Etuza delete icon 15/11/15

Allahu Albar..indahnya memandang tiap ukiran rumah Allah..terima kasih ya BM boleh cuci mata dan tahu dari mana smasjid tu...

Etuza Etuza delete icon 15/11/15

Masjid di Likas pun ok dari Sabah..bukan ok tetapi juga hebat tu BM..di sabah tak search ke..))

InsyaAllah...
Saya tahu ada banyak masjid2 yang manarik dan hebat di Sabah... tapi saya rasa cikgu lebih bersesuaian jika buat entri berkenaan masjid2 di sana :)

Fiza Rahman delete icon 24/11/15

Cantik dan unik binaan masjid2 nih.

Rohani M.U delete icon 4/12/15

SANGAT BERMANFAAT :)

Komen anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Blog BinMuhammad - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

p/s: Komen berserta link url aktif ( <a href=http://..... ) akan terus dianggap spam. Harap maklum

 
Copyright © 2015 BinMuhammad - Ilmu Dikongsi Bersama - All Rights Reserved - About Me - Policy - Disclaimer - Sitemap