بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

Pada hujung minggu lepas iaitu di minggu terakhir bulan Syawal 1437H, setelah berpuluh-puluh tahun penubuhannya, sejarah baru tercipta apabila buat pertama kalinya Surau Muhajirin, Rasa akan mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri 2016 buat semua khariah surau dan penduduk berhampiran. Majlis akan berlangsung pada waktu malam selepas solat Isyak pada hari Ahad.

Seperti biasa, apabila sesuatu program atau majlis anjuran pihak surau, ianya akan diadakan secara gotong royong sesama kariah dan ianya telah bermula sejak petang Jumaat lagi. Mesyuarat sebelum itu telah menjadualkan segala aktiviti dan tugasan yang akan dilakukan.

Berdasarkan kepada menu hidangan, gotong royong akan menumpukan kepada persediaan bagi membuat lemang, rendang dan kuah kacang selain dari kerja-kerja pembersihan. Manakala menu lain pula ditempah serta hasil sumbangan dari orang perseorangan.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Surau Muhajirin
Inilah Surau Muhajirin, Rasa... Sebuah surau kecil untuk kegunaan kariah serta penduduk sekitarnya. Terletak agak tersorok di atas terowong jalan utama Rasa dan bersebelahan dengan landasan keretapi.

Aktiviti Persediaan

Maka, pada petang Jumaat, aktiviti pertama pun berlangsung iaitu mencari dan mengumpulkan kayu api untuk membakar lemang. Kayu api dari batang pokok rambutan dapat dikumpulkan hasil dari carian di kebun Cikgu Mat Ariffin yang telah ditebang lebih 6 bulan yang lalu. 

Kayu api dari batang pokok rambutan adalah pilihan yang terbaik untuk membakar lemang kerana mudah dibakar, api tidak besar serta menghasilkan bara api yang lama.

Pada pagi hari Sabtu pula, gotong-royong aktiviti kedua iaitu operasi mencari buluh lemang dan daun pisang dilakukan. Lokasi hutan buluh yang berhampiran amat memudahkan kerja kerana banyak pilihan buluh lemang dan daun pisang hutan yang sesuai untuk digunakan.

Mencari buluh lemang - Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Surau Muhajirin
Suasana aktiviti mencari buluh lemang dan daun pisang. Hutan buluh ini terletak dipinggir jalan besar antara Pekan Rasa dan Bukit Beruntung amat mudah untuk dijejaki. 

Gotong Royong Memasak

Pagi hari Ahad, aktiviti gotong royong di surau Muhajirin, rasa bermula. Aktiviti utama adalah untuk membakar lemang, memasak rendang ayam dan kuah kacang serta kerja pembersihan surau.

Tugasan memasak rendang dan kuah kacang diberi kepada kaum wanita manakala memasak lemang dan pembersihan dilakukan oleh kaum lelaki.

Gotong-royong - Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Surau Muhajirin
Antara aktiviti yang dilakukan, Mencuci ayam dan membersihkan surau. Selain itu, sarapan juga disediakan. Semua dalam gambar ni adalah antara orang-orang kuat surau Muhajirin yang menjadi tonggak program.

Memasak rendang - Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Surau Muhajirin
Kaum wanita pula sibuk di dapur surau bagi menyedikan bahan-bahan untuk memasak rendang dan kuah kacang. Kalau pakar yang memasak, memang pasti sedaplah hasilnya...

Bakar Lemang

Pada awal pagi, proses penyediaan buluh lemang dilakukan. Proses pertama adalah memasukkan daun pisang ke dalam buluh. Nampak seperti kerja mudah tetapi sebenarnya agak sukar dan perlukan kemahiran kerana daun pisang tidak boleh terkoyak atau terlipat di dalam buluh.

Beras pulut yang telah direndam semalaman akan dimasukkan ke dalam santan segar yang sebelum itu telah dicampur dengan sedikit garam. Setelah digaul rata, pulut bersama santan akan dituang masuk ke dalam buluh lemang.

Ini merupakan satu lagi proses yang nampak mudah tetapi perlukan kemahiran kerana jumlah santan dan pulut yang dimasukkan mestilah mengikut sukatan yang sesuai kerana ketepatan campuran akan menghasilkan lemang yang sedap, lembut dan lemak. Maka, hanya yang pakar sahajalah melakukan tugasan ini.

Menyediakan lemang - Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Surau Muhajirin
Proses penyediaan buluh lemang. Dua orang ni memang otai yang berpengalaman. Kalau BM yang buat... Tak taulah jadi apa lemangnya. Hanya dapat tolong bantu angkat-angkat jer.

Pada masa yang sama, kayu api telah dibakar terlebih dahulu bagi menghasilkan bara api. Apabila sudah cukup jumlah bara api dan tempat sandar buluh lemang pun telah disediakan, maka buluh lemang yang sudah siap diisi pulut dan santan pun mula dibakar.

Membakar lemang - Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Surau Muhajirin
Proses pembakaran lemang pun bermula. Yang berbaju merah tu adalah pakar membakar lemang. Tanpa dia, mungkin ada masalah besar nak bakar lemang ni. BM kalau panggang ayam tu pakar le...

Ketika ini pun hanya yang mahir dan berpengalaman sahaja yang akan menjaganya. Bara api perlulah rata dan pada kedudukan yang betul untuk kepanasan yang sekata. Ini bertujuan untuk memastikan semua lemang dapat masak serentak, masak sekata bahagian atas dan bawah serta tidak masak terlalu cepat atau lambat bagi menghasilkan lemang yang berkualiti.

Buluh lemang juga perlulah dipusing-pusingkan dan dihentak sekali sekala pada masa yang sesuai agar pulut masak sekata, tidak berkerak dan padat.

membakar lemang - Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Surau Muhajirin
Beginilah keadaan ketika proses membakar lemang. Ramai yang tengok jer, maklumlah... jumlah yang tak berpengalaman lebih dari yang berpengalaman. Ketika inilah juga gurau senda dan lawak jenaka menjadikan suasana agak meriah dan ceria!

Akhirnya... Hampir waktu zohor, segala aktiviti pada hari tersebut telah selesai dan kini hanya menanti waktu malam bagi menjalankan majlis sambutan pertama kalinya rumah terbuka aidilfitri Surau Muhajirin.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 

Sebelum azan Maghrib berkumandang, seluruh Rasa dilanda hujan lebat! Suasana panas di siang hari menjadi dingin dan basah. Di surau, jumlah yang hadir berjemaah pun agak kurang. Selesai sahaja solat, sedikit perkongsian hadis dibacakan dan seterusnya acara tahlil ringkas dijalankan di bawah pimpinan Ustaz Syauki.

Hujan lebat berterusan turun sehingga hampir masuk waktu Isyak. Ketika azan Isyak berkumandang, hujan pun telah reda dan tetamu mulai datang lalu sedikit demi sedikit memenuhi surau. Selesai sahaja solat dan doa, maka bermulalah majlis jamuan makan sempena sambutan aidilfitri.

Antara menu utama pada malam itu adalah lemang, rendang, ketupat, kuah kacang, kuah lodeh, mee goreng, sate, kuih muih, buah tembikai, air kopi dan teh o panas.

Alhamdulillah... Semuanya telah berjalan dengan lancar dan sederhana tetapi meriah. Lemang yang dimasak juga sangat sedap, lemak dan terbaik! Begitu juga menu-menu lain terutamanya sate yang menjadi tarikan utama setiap tetamu yang hadir. Malangnya tiada gambar pada waktu majlis dijalankan... (kelam kabut ke surau waktu hujan lebat sampai tertinggal hp...huhu)

Begitulah suasana dan aktiviti sambutan pada hari rumah terbuka Aidilfitri 2016, Surau Muhajirin, Rasa yang diadakan buat pertama kalinya secara sederhana untuk semua kariahnya terutama di rumah murah Rasa, Taman Rasa Jaya, Pekan Rasa dan Taman Rasa Indah. Syukur... Sambutan yang baik dan yang paling berharga adalah dapat mengeratkan silaturrahim, perpaduan dan keharmonian sesama ahli keluarga kariah surau.

Jika dah ada yang pertama, pasti akan ada yang kedua dan seterusnya... InsyaAllah, jika diizin Allah SWT.

12 comments - "Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Surau Muhajirin"

Meriah btul aktiviti gotong ryongnya..

Bgus org kg berkerjasama..

nice sharing

Subhanallah..seronoknya Bro BM..gotong royong ni yang meriah..PC teringan nak belajar bakar lemang...hihi..

kata pepatah,sepakat membawa berkat..

paridah delete icon 10:46

MERIAH MAJLIS SAMBUTAN RAYA SURAU RASA...SIAP DGN USAHA BAKAR LEMANG LAGI...NAMPAK AHLI KARIAH SALING BERKERJASAMA MEMPERMUDAH SEMUA RENCANA DILAKSANA

Bab bakar lemang yang best sekali!

ANIM delete icon 09:02

assalamualaikum wbt..bm
baru dapat berkunjung sini. mudah2an masih ingat kat akak lagi, huhu

Bagusnya ada gotong royong,saling tolong menolong bila nak buat majlis ya

Meriahnya.. bakar lomang tu yg lagi happening... alhamdulillah... semoga silaturrahim bertambah erat dgn sepenuh keberkatan Illahi... aamiin.. :)

Meriah acara majlis rumah terbuka. Bagus untuk eratkan hubungan sesama ahli taman.

Surau saya pun ada buat hari tu. Meriah. Macam-macam hidangan kuih raya boleh makan.

shaiful delete icon 23:09

Salam ziarah BM..tahniah..meriahnya raya di Surau Muhajirin, Rasa.

Komen anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Blog BinMuhammad - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

p/s: Komen berserta link url aktif ( <a href=http://..... ) akan terus dianggap spam. Harap maklum

 
Copyright © 2015 BinMuhammad - Ilmu Dikongsi Bersama - All Rights Reserved - About Me - Policy - Disclaimer - Sitemap