بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
Menjadi seorang blogger bukanlah sesuatu yang sukar. Sama mudah seperti mempunyai sebuah akaun Facebook atau Instagram. Ia juga merupakan salah satu media sosial untuk perkongsian dan berkomunikasi.

Peranan media sosial pada masa ini bukan sekadar platform untuk perkongsian pendapat, minat dan kisah peribadi tetapi kini ia juga menjadi satu lubuk untuk menjana pendapatan yang semakin berkembang maju.

Walaupun menjana pendapatan itu bukanlah satu kemestian buat blogger namun tidak dinafikan bahawa keperluan yang paling diperlukan oleh blogger adalah untuk mendapatkan jumlah trafik yang tinggi serta pengikut yang ramai bagi merealisasikan sebarang matlamat yang disasarkan.

Batasan Sebagai Seorang Blogger

Meningkatkan Trafik dan Pengikut

Keghairahan untuk meningkatkan jumlah trafik dan pengikut ini perlu ada batasannya. Walaupun ianya tidak menjadi kesalahan tetapi integriti dan kejujuran itu amat penting yang menjadikan seseorang blogger itu bermaruah dan dihormati.

Dewasa ini kita dapati terlalu banyak blog yang bertunjangkan trafik dengan menjadikan perkongsian niche seperti berita sensasi, informasi hangat, viral serta hiburan sebagai jalan mudah untuk mendapatkan trafik yang tinggi.

Tidak dinafikan bahawa ia adalah satu cara pantas untuk meraih kejayaan dalam mencuri perhatian untuk mendapatkan trafik serta pengikut kerana manusia pada zaman ini begitu obses dengan kisah-kisah sebegini.

Namun sebagai seorang manusia, rasa tanggungjawab terhadap kesan dari apa yang disampaikan atau dikongsikan wajar perlu ada dan diutamakan.

Batasan Sebagai Seorang Blogger

Batasan Di Media Sosial

Oleh itu perlu ada batasan dalam perkongsian agar ianya tidak membawa kesan negatif atau menyusahkan diri sendiri dikemudian hari. Antara berikut mungkin boleh dijadikan panduan bersama dan sekiranya ada kekurangan, boleh dikongsikan lagi di ruang komen di bawah.

1. Perkongsian memburukkan atau mengaibkan seseorang
Mengaibkan diri sendiri adalah perlakuan yang tidak munasabah tetapi mengaibkan orang lain adalah perbuatan yang tidak bermaruah! Adakah kita sudah cukup baik untuk bercerita tentang keburukan orang lain walaupun ianya adalah benar.
Allah SWT mengingatkan dengan nada keras di dalam firman-Nya: “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat … (Q.S. An-Nuur [24] : 19).

2. Tajuk gempak tetapi isi hampeh
Tajuk merupakan elemen paling penting dan menjadi persepsi pertama yang mencuri perhatian seseorang untuk membaca isi kandungannya. Tidak dinafikan ia adalah satu teknik menjana trafik yang paling berkesan.

Namun disebalik tajuk, apa yang lebih penting adalah isi kandungannya. Ianya haruslah tepat dan lengkap serta bukan sekadar gimik yang akhirnya mengundang rasa marah dan kecewa.

3. Memfitnah
Tulislah sesuatu yang benar-benar sahih dan benar. Memfitnah adalah satu gejala yang semakin berleluasa pada zaman ini dan bagaikan sudah menjadi sesuatu amalan yang tidak terkawal. Janganlah kita tergolong pula dalam golongan yang dikeji Allah SWT ini.
Firman Allah SWT: "Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: “Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidilharam dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah . Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh. Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup. Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.". Al-Baqarah (2) : 217

4. Mencipta sensasi yang membawa kepada kesan negatif
Berfikir dahulu dan pastikan sensasi yang dicipta tidak membawa kesan buruk kepada diri sendiri dan orang lain. Memang seronok jika dapat membuat viral dan menyebarkan sesuatu yang disukai orang ramai namun lihatlah juga akan kesannya. Menyesal kemudian tiada gunanya.

5. Perkongsian agama tanpa ilmu dan rujukan yang sohih
Sekarang ini internet sudah menjadi antara rujukan dalam pengetahuan agama. Begitu ramai ustaz /ustazah segera yang berkongsikan pedoman serta nasihat namun sebagai pembaca yang tidak berilmu, dengan mudah mereka akan terpedaya.

Niat perkongsian adalah baik namun disebabkan tanpa usul periksa dan ilmu, maka perkongsian menjadi dosa yang berterusan pula. Berhati-hati dan elakkan berkongsi sesuatu yang meragukan.

6. Menyesatkan akidah
Ini yang paling menakutkan terjadi. Tanpa ilmu dan rujukan yang sohih, mungkin akan terjadi tanpa disedari perkongsian tersebut menyebabkan akidah diri sendiri dan orang lain tersesat. Jauhilah perkongsian sebegini.

Dapatkan rujukan yang sohih dan pandangan dari mereka yang berilmu atau alim ulama sebelum ianya dikongsikan.

7. Menulis sesuatu yang diluar kemahiran dan pengetahuan.
Jika sudah bukan dalam bidang dan kemahiran anda, elakkanlah menulis tentangnya. Bukan semua perkara boleh kita kongsikan kerana ianya akan menyusahkan kita pula dikemudian hari. Kepercayaan akan hilang dan seterusnya memberi kesan negatif untuk jangkamasa panjang.

Sebagai contoh, anda tidak mampu memberi jawapan dan penyelesaian apabila diajukan pertanyaan tentang apa yang diutarakan.

8. Mengganggu gugat keamanan dan keharmonian.
Isu-isu sensetif yang melibatkan ancaman kepada keamanan negara dan keharmonian antara kaum jangan sesekali menjadi bahan paparan di blog anda. Selain dari kesan buruk kepada pembaca, anda juga mungkin akan ditahan kerana telah melanggar undang-undang negara.

9. Mengambil kesempatan atas orang lain
Pastikan bahan perkongsian anda tidak melanggar etika sebagai seorang penulis. Melakukan cedokan dan salinan tanpa kebenaran itu satu kesalahan dan boleh disaman.

Mengambil kesempatan di atas kebolehan, populariti dan hak milik orang lain bukanlah jalan mudah yang boleh dilakukan sesuka hati. Hargailah hak orang lain dan jadi blogger yang bertanggungjawab!

Batasan Sebagai Seorang Blogger

Jangan Jadi Blogger Murahan

Menjadi seorang blogger itu tidak sukar tetapi menjadi seorang blogger yang berkualiti, berintegriti dan berjaya dengan cara yang dihormati dan bermaruah di atas usaha, pengetahuan dan bakat sendiri itu yang paling sukar dilakukan.

Sebagai seorang yang punya pegangan agama dan di negara yang punya undang-undang, perkongsian di media sosial perlu ada batasan.

Jangan kerana terlalu berterajukan trafik demi untuk mencapai matlamat tanpa memikirkan batas serta sempadan sehingga membawa kepada kebinasaan. Sekali terbabas... Padah mungkin menimpa dan amat sukar untuk anda bermula kembali!

Jika tidak pun, sebagai manusia yang punya hati, perasaan dan akal fikiran... Fikirlah dulu sebelum sesebuah artikel/entri itu diterbitkan. Pertimbangkan dengan waras, kaji selidik dan perlu ada rasa tanggungjawab akan kesan ke atas pembaca serta diri anda.

Jadilah blogger yang berintegriti dan berilmu serta jangan bertindak melulu jadi seperti apa yang dikatakan oleh Ben Shaari... "Jangan Jadi Blogger Murahan!"

Hidup bukan hanya di dunia ini. Setiap apa yang ditulis dan diterbitkan akan kekal selamanya dan menjadi tatapan masa kini dan akan datang. Ianya akan menjadi saham akhirat yang berpanjangan dan terpulang kepada anda sama ada mahukan saham pemberat amal jariah atau sebaliknya.

11 comments - "Batasan Sebagai Seorang Blogger"

glup! seram pulak baca entry nie..sebab terpikir saya ni kategori mane T__T

Satu peringatan kepada blogger. Nak jadi blogger hebat, perlu tahu apa yang boleh dan tak boleh dilakukan..

Benar. Jadilah seorang blogger yang bertanggungjawab dan mempunyai harga diri..

paridah delete icon 14:54

assalam BM ...bagus perkongsiannya..jadi blogger perlu ada adab n etikanya xhanya mengejar trafik tinggi,

Hasil penulisan kita juga menjadi saham kita di akhirat kelak..

Unknown delete icon 00:43

Kalau entri cik akak yang terkurang tu,,,mohon di maafkan..hihi...

Etuza delete icon 14:36

Subahanallah BM..amat hebat..terima kasih atas segala nasihat kepada semua blogger secara umum..

Etuza delete icon 14:47

Rasa teruja nak baca artikal bro Ben...terima kasih bagi infor untuk blogger

Mrs. A delete icon 17:06

Macam-macam jenis blogger ada hiks!
Blogger kejar trafik, blogger penuh integriti, blogger politik tapi setuju dengan BM jagalah batasan sebagai seorang blogger kerana itu adalah lebih baik di dunia dan juga akhirat. Wallahualam.

Unknown delete icon 14:52

MV pun terkadang risau juga bila meletakkan testimoni untuk dikongsikan, takut ramai yang cakap overclaimed tetapi kita lebih kepada nak berkongsi makluma

mcm2 jenis blogger ada..

harap2 aku pun dijuahkan jadi blogger murahan..

Komen anda amat-amat dihargai. Terima kasih bersama 'Blog BinMuhammad - “Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza”

p/s: Komen berserta link url aktif ( <a href=http://..... ) akan terus dianggap spam. Harap maklum

 
Copyright © 2015 BinMuhammad - Ilmu Dikongsi Bersama - All Rights Reserved - About Me - Policy - Disclaimer - Sitemap